Jun 19, 2013

Cerpen Klasik : Isteriku Pontianak Kampung

Atuk Seman memandang cermin. Baju ditanggalkan, hanya berpakaian kain pelikat lusuh. Kesan gigitan di badannya jelas kelihatan. Badannya lebam-lebam setiap kali dia bangun tidur.Ada kesan cakar di belakang badannya seolah2 ada jari halus yang ingin mencarik kulitnya.

Atuk Seman menarik kain pelikatnya lalu diselak. Dicelah pehanya yang keding ada gigitan-gigitan yang sudah lebam. Ada rasa pedih di seluruh badannya. Penuh lebam yang mampu dilihatnya, entah kawasan mana lagi ada kesan dia sendiri tidak pasti.

Dia duduk di atas tilam. Tidak sangka pula dia kenapa kejadian itu berlaku kepada dirinya. Memang dia pernah dengar kisah-kisah seperti berlaku kepada orang lain tapi terjadi ke atas dirinya sendiri agak susah nak diterima akalnya. Atuk Seman cuba mengingat kembali kalau ada yang sakit hati dengannya.

"Tidak ada pula setahu aku," fikir Atuk Seman dalam hati. Dia bukannya orang kaya. Harta pun sekadar tanah dan rumah. Isterinya pun sudah tua sebaya dia, bukan lagi mampu membuatkan jejaka-jejaka kampung iri hati dengannya seperti satu masa dulu. Dia cuba mengingat lagi beberapa kejadian yang berlaku beberapa minggu lalu. Tidak ada muncul sebarang benda aneh atau suspek yang mahu mengenakannya.

Nek Zah menolak pintu terkejut melihat suaminya hanya berkain dan pehanya terdedah. "Makan bang.." ajak Nek Zah. Atuk Seman bangun lalu mereka makan malam bersama. Anak-anak mereka sudah ramai yang berkeluarga sendiri jadi hidup mereka dipenuhi dengan masa yang diluangkan bersama. Atuk Seman terkenang cerita mengenai lembaga yang mengganggu penduduk kampung. Khabarnya pontianak.

Seram juga Atuk Seman memikirkan kalau-kalau itulah lembaga yang mengganggunya semenjak beberapa hari ini. Dia juga takut kalau-kalau lembaga itu adalah pengganggu yang dihantar oleh bekas isterinya yang diceraikan atas sebab tidak mahu dimadukan.

"Takkan sekarang ni baru dia nak balas dendam...kau ni Yam...tak elok buat camni," bisik Atuk Seman dalam hati.

Esoknya, Atuk Seman bangun tidur. Ada lagi dua tiga gigitan baru di bahagian kakinya dan bahunya muncul.. Pedih dirasakan. Hatinya panas kerana diganggu sedemikian rupa selama hampir 2 minggu. Atuk Seman mandi, bersiap dan bergegas keluar rumah. Sarapan pun tidak disentuhnya, hanya sekadar menghirup seteguk kopi pekat. Nek Zah tidak banyak soal kerana dia tau perangai suaminya.

Atuk Seman memandu motorsikal lalu menuju ke rumah Pawang Man. Pawang Man dah terkenal di kampung mereka dengan faktor kejayaan tinggi menghalau gangguan-gangguan iblis dan syaitan yang amat mujarab. Ilmu halus, ilmu kasar, ilmu tinggi, bomoh siam punya lembaga semua sudah dihadapinya. Sampai di rumah Pawang Man, Atuk Seman mengetuk pintu. Pawang Man yang baru saja selesai mandi hanya bertuala ketika membuka pintu.

"Maaf Pawang Man, abang nak mintak tolong ni sebab dah tak tahan sangat sakitnya.." beritahu Atuk Seman. "Saya siap2 dulu..jangan risau, saya dah tau dah hajat abang datang ni.." Yakin Pawang Man menjawab.

Pawang Man bersiap berpakaian lalu keluar bersama dengan peralatannya, keris pusaka nenek moyangnya, sebiji limau purut dan daun pandan tiga helai. Atuk Seman duduk mengadap Pawang Man lalu proses mengubat dimulakan. Pawang Man membaca sesuatu lalu ditanya kepada Atuk Seman "Ni datang ni kenapa? Saya tanya untuk sahihkan firasat saya ni.."Atuk Seman menanggalkan bajunya lalu duduklah dia tidak berbaju di depan Pawang Man. Jelas kelihatan lebam-lebam di badannya. Pawang Man membaca sesuatu, mulutnya pantas sekali sekala berlagu, sekali sekala berdiam dan hanya merenung Atuk Seman.

"....Ini ada gangguan ni, Bang...berat.." jelas Pawang Man. "Kenapa?" tanya Atuk Seman.

"Saya nak cakap pun saya tak berani tapi memang ada orang yang iri hati dengan Abang ni," beritahu Pawang Man. Atuk Seman tunduk. Puas dia berfikir, siapa?

"...Lebam-lebam tu semua kesan pontianak ni," beritahu Pawang Man. "Masya Allah!" Atuk Seman mengetuk dahi. Dah sah ini semua kerja bekas isteri dia yang masih lagi cemburu. "Boleh diubati ke?" tanya Atuk Seman. "Boleh...cuma belum masanya lagi..waktunya belum cukup sesuai, tunggu sehari dua lagi," jawab Pawang Man.

Atuk Seman melihat lebam ditanggannya. Lebam biru tapi tiada kesan gigitan, seolah-olah pontianak itu tidak bergigi. Tidak mahi dia bayangkan bagaimana badannya kalau gigi tajam pontianak itu menusuk kulitnya. "Datang balik lagi dua hari Bang.." beritahu Pawang Man.

Atuk Seman kembali pulang ke rumahnya. Motorsikal diletakkan kembali di tempat asal. Daun pintu dikuakkan. "Ke mana tadi bang?" tanya Nek Zah. "Abang pegi jumpa Pawang Man. Ni haa, kena gigit pontianak rupanya abang ni Zah.." jawab Atuk Seman.

"Haa? Pontianak?" terkejut Nek Zah. "Abang ni...ish.." Wajah Nek Zah merah membara. "Kenapa ni Zah?" kaku Atuk Seman melihat kelakuan isterinya.

"Kan dah berapa malam ni saya yang gigit abang!" jawab Nek Zah. "Ada kan saya bagitau abang hari tu, saya ikut majalah Mingguan Wanita, macam mana nak buat gigitan cinta!"

"Haa?" Atuk Seman terkejut. "Awak yang gigit?"

"Ye la...abang pun suka aje...sedap, sedap, kata awak...saya pun turutkan aje la! Rupanya tertidur!" Marah betul Nek Zah.  "Itulah awak! Tidur mati! Hari tu kata nak romantis-romantis! Saya siap pesan dengan Mek Nab tolong belikan majalah tu semata-mata nak ikut kehendak awak."

Atuk Seman tidak tahu apa hendak dijawab. Dia hanya berharap waktu itu ada pontianak terbang dan bawa dia sekali. "Esok saya tak nak gigit dah!" Rintih Nek Zah dari dapur. "Sakit tau gusi saya!"

"Cilaka punya Pawang Man! Tau hajat konon!" Atuk Seman hanya mampu duduk memandang kipas angin sambil membayangkan fantasi-fantasi yang hilang sekelip mata kerana menyamakan isterinya dengan pontianak.

"....Kadang-kadang memang tak ada beza pun.." fikir Atuk Seman dalam hati nak menyedapkan hati.

"Apa?" jenguk Nek Zah dari dapur tiba-tiba.
Sah, isterinya pontianak.


9 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

yea first.

tua pun masih tinggi keinginan yer

Shahrul Yusof berkata...

Better love story than Twilight!

Tanpa Nama berkata...

lol

Tanpa Nama berkata...

Syak Dh..ehehehe..:p.. Love Bite..=)..

Laici berkata...

kah kah kah...aku awal baca dah agak ending dy..sebab penulisan mantot kan...komfirm terkena kt hujung2

Tanpa Nama berkata...

gigit-gigit je Tot? sampai tertido? eh, tak langsai lagi bil air cam tu.....kehkehkeh...

woha berkata...

gigit laki masa dia tido woha Noob musti nenek muda tu wakakaka..

avie berkata...

hahhhaa....gusi yee...

mantot,mantot...macam Ramlee Awg Mursid ada Tamar Jalis pun ada.

mantot...ni ada link pasal GST.ni baca2 awl pgi macam lain ja rasa di hati, mb mantot boleh tolong tilik2 kan...

http://www.sinarharian.com.my/bisnes/gst-sistem-yang-lebih-adil-1.173481

avie berkata...

hahahhaa...gusi ye...

mantot mantot...macam Ramlee Awg Murshid ada Tamar Jalis pun ada.

Mantot...awal2 pagi baca pasal GST, macam lain ja rasa di hati...kalo boleh mantot tolong la tilik-tilik link ni ye...

http://www.sinarharian.com.my/bisnes/gst-sistem-yang-lebih-adil-1.173481