September 21, 2016

Bagaimana Rasanya Menghadapi Kematian Orang Tersayang?

Apa yang kau akan belajar dari kematian?

Setakat ni bukan semua orang menghadapi kematian orang yang dekat dengan dia. Kita takkan tahu macam mana rasanya kematian tetapi kita boleh tahu macam mana rasanya hilang orang tersayang ni. Ada beberapa benda aku boleh ajar pasal psikologi menghadapi kematian ni kepada mereka yang belum pernah lalui lagi.

1. Duit atau harta peninggalan itu penting

Jom kita clearkan awal-awal dulu benda paling banyak membawa gaduh. Isu duit, isu harta. Pasal harta ni, percayalah cakap aku, apa yang kau tinggalkan nanti boleh membawa kepada perpecahan. Oleh itu, sementara sempat, gi buat wasiat, gi hibahkan harta.

Ramai orang sementara dia hidup di dunia ni, kita nampak dia tak tamak. Tapi bila dah berlaku sesuatu kematian, entah kenapa sifat tamak tu akan tiba-tiba muncul sehingga boleh membawa sengketa antara keluarga.

2. Tempoh dapat terima kematian adalah tempoh paling aneh kau akan lalui

Selepas kau kematian orang tersayang, dalam diri kau akan ada satu kekosongan yang kau sendiri tak tau nak cerita macam mana. Ye lah, kau dah biasa nampak orang tu hari-hari, kemudian satu hari dia tak ada. Macam magik.

3. Kau akan hargai kematian yang kau jangka

Aku rasa salah satu anugerah dalam kematian yang Allah bagi pada kau adalah apabila kau ada masa untuk faham dan hadam betul-betul yang dia ni, yang kau sayang, akan meninggal. Tu nikmat tu. Walaupun kita tau dia sengsara sakit, sebab selalunya kes macam ni kes sakit panjang la.

Sebab sedikit sebanyak pengalaman kau tu akan bantu kau adaptasi hidup kau dan kau takkan mengalami perasaan terkejut yang kau akan hadapi. Setiap kematian ada trauma masing-masing, tapi trauma yang kau sedia hadapi lebih mudah nak diuruskan.

4. Ajar anak-anak pasal kematian dari kecil

Aku tak tau kenapa kita takut benar nak berbicara soal kematian sedangkan dalam dunia ni, itu aje satu-satunya benda yang pasti. Anak-anak kita perlu diajar dan dididik mengenai kenapa manusia akan mati dan kenapa lepas mati, manusia itu akan ditanam.

Jangan ajar anak-anak kita yang kita akan senantiasa ada sebab tak ada siapa tahu, bila kita akan tiada. Tengok perangai budak sekolah menengah bawak motor, nampak benar ramai yang tak faham apa itu erti mati dan apa kesannya nanti pada mak ayah dia.

5. Semuanya akan OK

Mungkin ada yang ambil masa sebulan, 2 bulan, 6 bulan, 2 tahun, 5 tahun tapi percayalah, kita akan pulih dan kembali hidup selepas menghadapi kematian. Setiap kali kau hadap kematian dan kau nampak jasad diturunkan dalam kubur, Insya Allah hati kau akan ingat Allah.

Setiap kematian ni ada hikmah dia, cuma hikmah dia kau kena cari.

6. Nikmat dalam kematian

Bila masa dah ubat sakit kehilangan tu, akan ada masa-masa di mana kau akan teringat balik memori kau dulu. Kadang-kadang bukan kau sengaja teringat tapi tiba-tiba teringat.

Memori baik, memori buruk, memori tak berapa indah, semua benda yang kau ingat, tak kiralah kau suka atau tidak, akan buat kau senyum.

7. Kau akan ingat apa yang kau nampak

Ni cabaran paling besar zaman sekarang. Mak ayah kerja kuat sangat carik nafkah, bila mak ayah mati pun memori anak hanya dia duk ingat dia duduk rumah dengan bibik dan bibik jaga dia. Memori dia dengan bibik lagi banyak.

Kalau kau terasa dengan apa yang aku tulis ni, buatlah sesuatu.
Sementara sempat.

8. Jangan mesej perkataan pelik-pelik dekat kawan yang baru menghadapi kematian dan kemudian menjawab yang dia tak faham bahasa yang kau gunakan

"Apa bro? Your mom died? Adios bro. May there be peace." Ada beberapa lagi perkataan tak sesuai digunakan, antaranya ; hasta la vista baby, good riddance, see you sucka dan go to hell.