September 26, 2013

Orang Ramai Umum Pengurangan Subsidi Kepada Kerajaan Malaysia Sebanyak 10 Peratus

Akibat daripada kenaikan harga minyak yang membebankan pengguna, orang ramai hari ini telah mengambil keputusan untuk menurunkan subsidi kepada kerajaan melalui penurunan pembayaran duti kenderaan yang selama ini dinikmati oleh kerajaan.

Keputusan ini diambil kerana kos sara hidup yang semakin meningkat membuatkan ramai orang terpaksa memilih sama ada mahu memotong perbelanjaan untuk keluarga atau mengurangkan pemberian subsidi kepada kerajaan. Mesyuarat orang ramai yang berlangsung di Putrajaya telah pun bersetuju supaya pengurangan subsidi kepada kerajaan akan dilakukan mengikut skala tahun ke tahun.

Jurucakap kumpulan berkenaan dipetik berkata, "kami akan memotong sedikit subsidi duti kenderaan yang diperolehi kerajaan dengan nilai 10% mulai tahun 2014 sebagai langkah awal. Kami berharap agar pihak kerajaan dapat membuat perubahan kepada cara mereka membelanjakan pendapatan kerajaan kerana sedikit sebanyak, akan berlaku penyusutan kepada sumber ekonomi kerajaan."

Ujar beliau lagi pengurangan subsidi melalui penurunan duti kenderaan ini akan dilakukan secara tahunan dan akan dikaji semula jika berlaku kenaikan harga minyak atau inflasi teruk kepada harga barangan harian.

"Pada kami, jika kerajaan yang melabelkan diri mereka cekap memerintah ini terpaksa membelanjakan berpuluh juta hanya untuk mengupah syarikat asing menyediakan draf pendidikan negara, tidak ada gunanya kami mensubsidi pendapatan kerajaan lagi," sambung beliau. "Saya amat berharap agar kerajaan dapat mengubah cara mereka berbelanja kerana zaman mewah kepada kerajaan akan mula beransur-ansur ditarik balik akibat perbelanjaan yang nampaknya kerap berlebihan melebihi kemampuan."

Pihak wartawan kami telah pun berjaya mendapatkan respon beberapa orang wakil kerajaan. Seorang menteri yang tidak mahu dikenali berasa agak berang dengan tindakan orang ramai yang menurunkan subsidi kepada kerajaan. "Bagaimana pula kami nak melakukan transformasi kepada negara jika sumber kewangan kami ditarik tahun ke tahun?" tanya beliau.

Perdana Menteri Malaysia, Najib Razak pula melalui ruangan Twitternya memberikan reaksi yang berbeza, apabila beliau bersetuju dengan tindakan orang ramai yang ingin menurunkan subsidi kepada pihak kerajaan. "Saya rasakan apa yang orang ramai lakukan adalah satu tindakan yang tepat walaupun pedih untuk diterima. Tapi hakikatnya, saya akui sebagai Perdana Menteri, pihak kerajaan harus mengubah cara hidup dan mengamalkan perbelanjaan berhemah."

Apabila ditanyakan adakah selepas ini pihak kerajaan akan mengurangkan lawatan-lawatan rasmi ke luar negara akibat daripada pengurangan subsidi ini, Perdana Menteri menyebut itu adalah langkah-langkah awal yang bakal diambil.

Respon masyarakat kepada isu pengurangan subsidi kepada kerajaan ini telah pun diterima dengan sangat positif. "Dah lama benar kita subsidi kerajaan, apa salahnya dikurangkan sikit subsidi rakyat yang mereka terima tu?" tanya Makcik Limah, seorang suri rumah dan pengusaha perniagaan kuih di Ulu Yam.

"Kalau kerajaan naikkan harga minyak untuk menampung perbelanjaan mereka, rakyat juga ada hak untuk memotong subsidi kepada kerajaan yang diberikan melalui kutipan cukai untuk menyeimbangkan perbelanjaan rakyat," ujar Makcik Limah.

"Ubah la gaya mentadbir, senang aje kan? Tak ada duit, kenapa perbelanjaan masih lagi melebihi pendapatan? Bukan ke itu cara yang kurang bijak? Jabatan Audit dah buktikan dah, kerajaan kita ni boros tak bertempat, jadi amat sesuai la rakyat potong subsidi kepada mereka ni!" ulas Makcik Limah lagi.

8 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

nak mengamuk kenapa? korang senang.. kmi yg susah

Tanpa Nama berkata...

Kerajaan mmg boros...

Tanpa Nama berkata...

LOL!.. i wish :)

Krie berkata...

igt berita sebenar tadi, baru nak bersorak gembira....adoi...

Tanpa Nama berkata...

patutnya tambah : pengurangan duti 10% ini jugalah antara terendah di rantau Asia. hohoho

Tanpa Nama berkata...

mengantuk makcik wanita umnoni ye

Tanpa Nama berkata...

Makcik ngantuk nak... Dengor pok jib merapu pasal minyak ni. Semalam makcik buat kuih sampai pukul 4 pagi nak cover 20sen punya hal...huhuhu

fidel castro berkata...

salah satu caranya ialah dengan memboikot kenderaan baru seperti kereta dan motorsikal..beli yang second hand aja.