Februari 22, 2017

Bersyukur Bukanlah Tanda Kita Lemah, Melawan Bukan Tanda Kita Gagah


1. Kita selalu terkejut dengan perkara yang di luar jangkaan kita. Ustaz pakai kereta mewah, benda luar biasa. Ustazah make up wajah, benda luar biasa. Ustaz dan Ustazah buat duit dari ceramah, benda luar biasa.

2. Malahan, Dr.Muhaya pada 2013 pernah dilanda kemarahan apabila bergambar depan kolam renang di rumah, sambil mengajak orang bersabar dengan kos kenaikan sara hidup.

3. Jika PM Najib kata "ikutlah hukum agama" pun akan ada yang sinis kerana dia lebih pandang Najib yang bercakap dan persepsi "Najib = skandal 1MDB" dah kacau semua deria dia supaya jadi rasional.

4. Persepsi kita itu tidak membuatkan apa yang diorang cakap tu salah. Orang kita selalu nampak salah pada orangnya dan bukan pada mesej yang hendak disampaikan, kerana pada kita, ini semua cakap tak serupa bikin. Mesej yang nak disampaikan dia tak dengar dah.

5. "Dr.Muhaya ada hati nak nasihat orang bersyukur dan bersabar? Dia boleh la, posing depan pool, rumah besar, makan cukup, sekali buat operasi lasik caj RM7000." Ayat standard kita lah. Kita anti betul orang yang cakap tak serupa bikin. Suruh wasattiyah, syukur, sabar, tapi dia sendiri hidup mewah.

6. Benda tu dah jadi satu kesalahan pula pada pandangan kita. Salahnya kita di situ, kita letakkan standard yang kita tetapkan pada orang lain dan kita marah jika orang tersebut tidak memenuhi standard yang kita dah tetapkan.

7. Tahap sederhana sesama kita tak sama. Zuhud kita tak sama. Antara kita pun berbeza tahap-tahap kemampuan kita. Oleh kerana jiwa kita ini kecil dan keupayaan kita lemah, kita tuduh orang-orang ini "cakap tidak serupa bikin" kerana kononnya, dia tak faham apa yang kita lalui.

8. Melompatlah kita apabila kita nampak sesuatu perkara yang berlaku dan berada di luar standard jangkaan kita, seperti tudung RM800 sold out, kelas Quran di udara harga beribu atau orang Melayu makan wagyu steak sekeping harga RM250. Kita rasa perkara tu membazir. Kenapa membazir pula?

9. Ada orang rasa RM5 besar dah, ada orang rasa RM50 besar dah, ada orang RM500 macam RM5 pada dia. Kesederhanaan kita tidak sama tahapnya tetapi, syukur kita tahapnya sama.

10. Hakikatnya, orang yang punya pendapatan sebulan RM1000, RM1500, RM6000, RM25,000 atau RM48,999 sama saja jika kesemuanya reti mensyukuri apa yang dia dapat. Sayangnya zaman sekarang ni, bersyukur seolah dah jadi satu perkara yang susah, kerana kita terlalu asyik nak melawan. Bersyukur pula, satu tindakan berserah.

11. Amalkan begitu, akan jadilah kita satu masyarakat yang tak pernah rasa cukup, yang ada sikit sentiasa mahu lebih sikit, yang dah dapat besar sentiasa cari jalan nak lagi banyak.

12. Sebab tu lah apabila diminta bersabar dengan beban kehidupan dan diberikan nasihat yang sebenarnya baik, kita maki tukang nasihat hanya kerana kita nampak dia hidup senang. Kita pandang perkara lain yang sebenarnya tak patut jadi fokus kita.

13. Semuanya berpunca daripada satu perkara saja; kita tak mampu nak buat macam dia.

14. Latihlah diri kita untuk tukar minda kita kerana perasaan tu, memang akan ada kat kita semua. Aku pun sama. Apatah lagi dalam zaman media sosial di mana ramai yang tayang apa dia buat, apa dia beli dan apa dia ada.

15. Kita pula, "hanya mampu begini."

16. Padahal, ada satu sahaja yang penting sebenarnya; adakah anda bahagia dengan apa yang anda ada? Kalau ya, cukup dah.

1 ulasan:

lkjhgfdsa berkata...

Ada betulnya jugak apa kau tulis ni. Hmmm