Februari 27, 2015

Jika Kau Nak Sesuatu Dilakukan Di Malaysia, Jemputlah Menteri Untuk Turut Sama

1. Kau nak tau satu benda.

2. Pada aku, pemimpin yang baik;

3. Adalah mereka2 yang hidupnya jadi lagi susah;

4. Selepas bergelar pemimpin.

5. Pemimpin yang baik;

6. Adalah mereka yang sanggup susah untuk buat orang lain senang;

7. Tapi di Malaysia; kita punya pemikiran lain.

8. Orang ramai sanggup susah untuk pemimpin.

9. Punyalah lama rumput tak potong, kalau pemimpin nak lalu dia potong cepat-cepat.

10. Dah habis terkopak sigboard jalan, pemimpin nak datang, malam tu jugak dia ganti.

11. Takkanlah nak tunggu Menteri Pelajaran sendiri turun tengok Sekolah Kebangsaan Penimbawan, Sabah ni baru lah bangunan sekolah yang dah setahun lebih terbakar dapat disiapkan?

12. Berapa lama lagi nak biarkan budak2 situ belajar bawak khemah yang terdedah?

13. Berapa lama lagi nak biar cikgu2 dia mengajar dalam kelas yang guru2 nya terpaksa lawan jerit untuk pastikan budak2 dengar suara dia?

14. Kau tengok orang Cina dan hubungan dia dengan sekolah dia. Kau tengok macam mana diorang sumbang duit diorang untuk sekolah.

15. Tapi sebab kita Melayu jadi kita kena tunggu pemimpin datang hulur duit baru kerja jalan.

16. Jadi aku merayu kepada Menteri Pelajaran tak kisah lah Menteri ke, Menteri Pelajaran 2 ke, Timbalan Menteri ke, silalah ke Sekolah Kebangsaan Penimbawan, Sabah.

17. Bangunan sekolah tu tak siap2 lagi tu haa.

18. Mana lah tau kalau Menteri kata nak datang, esok weekend ni terus kontraktor start bina sekolah.

19. Isnin budak2 dapat berhimpun dalam bangunan sekolah baru.

20. Kalau Menteri turun lah.

21. Kalau tak dapat, ada kutipan bantuan untuk membina bangunan Sekolah Kebangsaan Penimbawan sedang dilakukan.

22. Mereka hanya perlukan RM60 ribu untuk bina kelas2 untuk budak2 tu.

23. Hulurkan sumbangan anda pada 5640-5251-8205 (TWB Resources) untuk bagi bantuan. RM60 ribu diperlukan.

24. Kalau dapat buat kutipan untuk beli tiket kapal terbang bagi menteri sampai ke sana pun cantik.


Februari 17, 2015

Kalau Reti Nak Ada Anak, Kenalah Reti Buang Pampers Anak, Mangkuk.

Hari Ahad hari tu aku gi Bangi. Gi makan. Apasal aku rasa makanan2 kat situ makin lama makin overprice? Dah lah Menteri suruh boikot orang Cina kalau letak harga makanan melampau tapi masalahnya, yang kedai melayu ni sapa nak tegur? Apa kejadahnya teh o ais RM3.50? Pakai teh wangi je pun. Teh wangi ni murah.

Balik, singgah masjid. Cebok anak aku. Datang cleaner Masjid, seorang Bangladeshi tanya dengan aku "bang, itu pampers sudah buang ka bang?"

Aku jawab dah.

Lepas tu dia kata terima kasih, sebab ramai benar orang Melayu yang pegi masjid, cebok anak lepas tu biarkan aje pampers anak dia merata-rata dalam bilik air.

"Ini orang tadak kepala punya orang. Itu benda kicik punya pasal pun dia tak bole pikir. Machiam machiam jenis orang ada ya bang!" kata dia sambil mengeluh2. Muda lagi tu, aku rasa 27-28 tahun umur dia.

HOI MELAYU.

Kau fikir la sendiri. Pendatang luar datang Malaysia kerja untuk jaga negara kau, mengeluh pasal perangai kau yang jahanam ni?

Aku ingatkan dalam masjid wujud jugak kesedaran dekat orang Melayu, ye lah, masjid kan zon menutup aurat? Zon bebas maksiat? Zon beramal soleh? Keluar masjid, tanggallah tudung, buatlah maksiat dan ikut suruhan syaitan tapi janganlah sampai mencemari kesucian masjid. Apa tak mampu pakai otak dah ke, macam mana kau boleh jadi bapak dan mak ni kalau pampers anak kau yang dah terpakai pun bangladeshi tolong buangkan?

Baghal ke apa kau ni? Kalau kau pergi ke mana-mana, lepas kau cebok anak kau, tukar pampers dia, tolong lah buang pampers dia elok-elok. Lagi satu kes, perempuan yang tak reti buang "pampers" dia elok-elok. Golongan ni pun ada. Ni pun sama. Aku harap kitaran haid kau tak teratur lepas ni.

Aku doakan satu hari nanti pekerja2 asing kat Malaysia ni pakat2 balik negara dia majukan negara diorang dan jangan datang lagi Malaysia. Indonesia pun dah start dah larang rakyat dia jadi pembantu rumah.

Masa tu baru lah kau tengok macam mana rupanya negara "indah dan Islamik" Malaysia ni kalau tak ada tangan2 diorang membantu menjaga negara kau ni.

Aku mewakili pekerja pembersihan Masjid Hasanah Bangi atau lebih dikenali dengan nama Masjid Hijau mengucapkan "Kalau reti ada anak, kena la reti buang pampers anak, mangkuk."

Apa kau ingat, pekerja asing ni datang Malaysia;

a. untuk carik pampers yang kau buang
b. untuk kutip balik troli yang kau letak rata-rata
c. untuk susun balik barang2 pasaraya kau tak jadi beli dan kau letak tempat lain

Kalau kau fikir itu kerja diorang, kau silap.
Itu bukan kerja diorang.

Dan kau seorang yang annoying, pompous dan arrogant.

Sekian pesanan khdimat masyarakat ini daripada aku.
Terima kasih.

Have a nice day.


Februari 12, 2015

Ke Arah Malaysia Yang Moden, Adakah Kita Akan Terus Hidup Macam Melayu Bawah Tempurung?

Negara kita dilaporkan akan berjaya mencapai sasaran menjadi negara berpendapatan tinggi pada tahun 2018 dan mungkin terpaksa menurunkan sedikit kadar sasaran negara maju menjelang 2020.

Jika kau dengar semua pakar ekonomi, mereka akan kata Malaysia adalah negara yang ekonominya sangat cekap dan kerajaan yang memerintah mempunyai kemampuan untuk menginjakkan ekonomi Malaysia supaya terus berkembang, walaupun ramai pihak dari barat khasnya, yang akan terus memburukkan imej negara pada mana2 indeks ekonomi.

Aku bukan pakar ekonomi jadi aku akan ambik pandangan diorang yang lebih pakar. Bagus, jadi kita tidak perlu risau mengenai krisis ekonomi sebagai contoh kerana, kerajaan kita dah menyediakan satu platform yang mampan untuk menangani kelembapan ekonomi negara.

Lembap...tapi bukan krisis.

Kau tau, jika kau ikut perbincangan2 orang mengenai hala tuju Malaysia menjelang tercapainya taraf negara berpendapatan tinggi, yang mana aku still sangsi sebab kau perlu tahu...78.6% pencarum KWSP di Malaysia, mempunyai pendapatan RM3000 ke bawah, bukannya perihal ekonomi yang perlu dirisaukan;

Yang perlu dirisaukan adalah mengenai perkembangan mentaliti masyarakat kita menjelang era menjadi negara maju.

Kau sendiri setuju kalau aku katakan mentaliti kita memang tahap bangkai? Tak percaya? Sebagai contoh;

a. Kau beratur panjang dekat traffic light dah 20 minit. Sampai giliran kau jalan, tiba-tiba ada mangkuk ayun dengan muka tak peduli terus cilok masuk depan kau tanpa beratur. Kau himpit dia balik tak bagi dia laluan, dia yang maki kau. Itu manusia bangkai.

Tak cukup satu contoh?

b. Kalaulah wujud akta yang melarang penghisap rokok di tempat awam, kau akan nampak reaksi orang yang melawan akta tersebut walaupun akta tersebut sebenarnya sangat berfaedah kepada masyarakat. Itu semua kerana dia nak merokok di mana sahaja bila-bila masa dia suka.

Tak cukup kuat lagi contoh aku tu?

c. Kalau kau nampak orang yang merokok dan kau tegur dia merokok dengan muka kau yang tak puas hati tetapi sopan, respon yang kau akan dapat adalah muka tak puas hati, nak ajak bertumbuk dan bajet dia gangster dengan pandangan "siapa kau nak tegur aku hisap rokok kat sini?"

Itulah dia contoh2 manusia bangkai. Manusia backwards yang otaknya tersangkut pada zaman 80 an di mana masyarakat Islam pada ketika itu masih boleh merokok pada bulan Ramadhan.

Masyarakat kita dah suka tidak ada undang2 yang kawal dia dalam benda2 camtu. Berapa orang kat sini yang takut nak buang sampah rata-rata? Even dalam bab merokok ni pun baru aje semalam aku tengok CIKGU SEKOLAH MEROKOK DALAM KAWASAN KANTIN SEKOLAH!

Tak ke primitifnya orang camni?

Pemikiran2 orang macam ni lah sebenarnya yang menghalang masyarakat Malaysia maju ke depan sebab orang2 macam ni lah yang akan vokal sekali bila hak diorang disekat. Hak merokok merata-rata. Hak langgar peraturan jalan raya supaya dia sampai cepat. Hak buang sampah merata-rata sebab dia tak nampak ada tong sampah disediakan.

Itu baru sikit.
Tapi itulah benda asas yang kita dari dulu sampai sekarang FAILED nak patuh.

Kau boleh kutuk SIngapura macam2 tapi kalau Singapura adalah sebuah negara KOMUNIS YANG TINDAS ISLAM DAN MELAYU SERTA HANYA MENGUNTUNGKAN MASYARAKAT CINA SINGAPURA SEPERTI KATA RAMAI MELAYU....

.......kenapa Singapura lebih bersih dari Malaysia?

Sedangkan...ramai orang kata...ehem ehem..kebersihan sebahagian dari Iman? Aku tak nak masuk bab Jepun. Cukuplah aku katakan, dalam ramai2 cikgu yang mengajar aku, satu2 nya cikgu yang betul2 rasa bersalah kalau dia terlambat masuk kelas adalah Cikgu Bahasa Jepun aku yang agamanya aku tak tau apa dan aku tak pernah pun bagi salam kat dia.

Sebab dia orang Jepun.

Jepun di bom pada tahun 1945. Semenjak dari hari tersebut, apa yang kerajaan dia buat adalah dia ubah sistem masyarakat dia, perkenalkan bermacam sistem, budayakan budaya yang sistematik dan sangat tersusun untuk accelerate balik negara dia selepas musnah pembangunan akibat bom atom tu. Apa yang kau nampak sekarang adalah hasil daripada pengenalan budaya tersebut.

Kau cuba bandingkan kelajuan orang Jepun berjalan dan kita berjalan. Atau kau cuba bandingkan tahap kekemasan negara dan kebersihan masyarakat dia berbanding kita yang masih lagi selesa bawak keluar sampah kedai makan melalui ruangan makan pelanggan sambil pelanggan hirup mee bandung.

Apa jadahnya?
Kau nak buang sampah jangan la lalu tepi customer yang tengah makan.

Dalam banyak2 perkara mengenai sasaran negara, benda ni lah yang paling merisaukan kerajaan. Mentaliti kita masih lagi mentaliti yang ditakuk lama. Mentaliti di mana kita tolak perubahan yang membawa kebaikan hanya kerana kita takutkan perubahan.

Persoalannya, kau macam mana?

Adakah kau masih lagi memilih untuk buat tak kisah sampah sarap yang kau buang dari tingkap kereta sebab dah ada "bangla" tolong kutip sampah kau? Kau masih lagi berharap agar kesalahan trafik kau boleh dielakkan saman sebab kau dah tau polis trafik memang mudah kena suap? Kau masih lagi fikir kerja kau sebagai kerani kaunter sebuah agensi kerajaan, masih sempat kau breakfast dulu pada jam 10.00 pagi dan biarkan seorang pekerja lain handle satu kaunter sorang2 sebab dia pekerja yang lurus bendul?

Kau lebih gemar kita kekalkan macam ni sekarang, di mana orang yang buat salah boleh maki kau balik sebab kau tak benarkan dia buat salah?

Unik kan Malaysia ini.

Cuba kau blok motor2 yang selalu menyelit masuk ikut plaza tol kereta sebab dia malas nak ikut jalan motor. Kau tengoklah berapa kuat dia maki kau. Cubalah. Rekod video ya? Kemudian upload ke Youtube.

Nak salahkan kerajaan dalam bab kelakuan asas ni pun takleh.
Bodoh mana kau sampai jangan buang sampah merata-rata pun kau tak tau boleh ke tidak?

Februari 09, 2015

Apa Syarat Sah Dua Kalimah Syahadah?

1. Siapa yang tentukan orang itu Islam?

2. Bagaimana kalau pada satu hari, seorang non Muslim, bangun tidur, dapat hidayah?

3. Dia takut nak beritahu keluarga, jadi dia diamkan saja perkara tu.

4. Dia bukak internet, belajar pasal Islam, belajar pasal solat.

5. Dia buat semua benda dan lepas dia rasa dia bersedia, dia ucap dua kalimah syahadah sorang diri, hanya Allah aje tahu. Dia solat sembunyi2, puasa dan dia simpan duit nak gi Haji dalam tabung. Tak pernah sekali pun dia cuba jejak masjid. Apa yang dia belajar dari TV dan dari apa yang dia baca, bergantung kepada persoalan yang dia ada.

6. Pada waktu yang sama juga, dia masih lagi "bersama" dengan isteri.

7. Kau paham maksud aku kan? Dia terus bersama kerana dia tak tau. KIta ambik camtu aje, dia tak tau. Dia tau Islam = Syahadah, Solat, Puasa dan Haji.

8. Lebih setahun selepas dia ucap 2 kalimah syahadah, isteri dia lahirkan anak perempuan yang comel.

9. Jadi, kepada pakar agama internet;

10. Aku bertanya; adakah dia berzina selama mana dia bersama isterinya?

11. Kepada pakar agama dan undang2 internet;

12. Apakah agama anak tersebut?

13. Dan soalan terakhir kepada semua orang.

14. Apakah dia syarat sah dua kalimah syahadah?

15. Hehehe.

16. Bincangkan.

17. Baik bincangkan awal sebelum nanti2 bila dah mati orang macam ni, baru nak berebut nak tanam badan dia ikut upacara apa.

Februari 06, 2015

Awkward Agama : Kalau Kau Islam, Cuba Kau Habiskan Cerita Ini

Satu hari, kau sedang duduk sambil menikmati secawan teh tarik kat kedai. Kau dapat mesej dari kawan kau, seorang non Muslim, "tanya kau kat mana?"

Kau pun balas kat kedai tengah minum. Dia jawab balik,"nak join." Kau balas "OK. Jom!"

Dia sampai, duduk borak dengan kau pasal kerja yang korang tengah hadapi. Sampailah satu tahap di mana dia diam, kemudian dia cakap kat kau;

"Aku ingat aku nak masuk Islam."

Kau terkejut. Dalam diri kau, ada rasa gembira dan ada rasa nak bertanya lebih lanjut. Kau pun tanya dengan dia "kau dah bagitau pasangan kau?"

Dia diam.

"Aku nak masuk Islam lepas aku pegi tolong orang banjir haritu. Ada orang mintak aku tolong basuh masjid. Mungkin dia ingat aku Islam kot," beritahu kawan kau. "Aku tak tau kenapa aku rasa bila aku masuk masjid tu aku rasa lain."

"Aku nak tanya dengan kau ni...sebab tu aku nak jumpa kau sekarang," tanya kawan kau.

Kau renung dia, sabar menunggu soalan.

"Aku dah ada anak dua orang, pasangan aku non Muslim, family aku semua non Muslim...kau pun tau," terang dia.

"Pasangan aku, tak pernah lupa agama dia. Anak-anak aku kami dah ajar macam mana nak jaga agama kita orang," terang dia lagi.

Giliran kau pula diam.

"Aku dah tanya pasangan aku. Dia tak mahu Islam."

Kawan kau hirup milo suam perlahan-lahan.

"Aku nak tanya dengan kau sebab aku takut nak pergi ke Pejabat Agama tanya diorang, sebab dah boleh agak apa jawapan dia orang nanti," kawan kau menyambung cerita.

"Kenapa..."

Kawan kau diam.

"Kenapa kalau aku nak masuk Islam....dan pasangan aku tak mahu masuk Islam.." Kawan kau terdiam sebentar.

"......aku kena ceraikan dia?"

Kau tersentak.

"Kenapa perlu aku ceraikan pasangan aku, tinggalkan anak-anak aku, pecahkan keluarga aku, kalau aku sanggup terima Islam dan pasangan aku tidak?"

Kelu kau waktu itu.

"I trust you. Aku dah kenal kau lama, sebab tu aku nak tanya kau...apa pandangan kau?"

Kau diam, berfikir.

"Aku dah cuba pujuk pasangan aku. Dia tak mahu. Dia tak suka Islam."

Kau senyum kambing mendengar ayat kawan kau tu.

 "Hope you don't mind when I say that...dia bertegas yang jika aku masuk Islam, our relation is over."

Nampak dia rasa lega.
Mungkin masalah tu dah lama dia pendam seorang.

"Kalau kau jadi aku, apa kau buat?" tanya dia kepada kau.

Kemudian, kau buka mulut dan beritahu dia;

..........................................................................................................................................................

..........................................................................................................................................................

..........................................................................................................................................................

(Sila isi tempat kosong, 10 markah)


Februari 05, 2015

Terima Kasih Datuk Ismail Sabri Kerana Mencelikkan Mata Masyarakat Melayu

Kuala Lumpur, 5 Feb - Berikutan daripada gesaan menteri yang menggesa pengguna dan rakyat memboikot barangan yang diletakkan harga tidak munasabah, beberapa pengusaha Melayu mula geleng kepala memikirkan keuntungan perniagaan yang semenjak dua hari ini telah merudum.

Fizi Umar dan isterinya, Melati yang mengusahakan tudung muslimah berjenama Farodah adalah antara ahli perniagaan Melayu yang mengalami kesan paling dahsyat.

"Jika sebelum ini saya boleh menjual tudung dengan harga minima RM140 dan orang masih lagi beratur untuk membelinya, tetapi selepas Datuk Ismail Sabri menyarankan kepada orang ramai supaya memboikot perniagaan yang tidak memberikan value for money, jualan kami dua hari ini telah merosot 78%," kata Fizi.

Kami berjaya mendapatkan reaksi salah seorang bekas pelanggan setia tudung Farodah, Puan Maimon.

"Walaupun harga jualan tudung Farodah kini diberi diskaun sebanyak 50%, saya akan terus memboikot mereka. Saya selama ini beratur dari pagi semata-mata hendak membeli tudung gaya baru pun nampaknya kenalah belajar membeli tudung jenama lain yang lebih meunasabah harganya. Saya baru tersedar yang harganya selama ini tidak masuk akal dan nasib baiklah Datuk Ismail Sabri mencelikkan mata saya dan masyarakat," kata Puan Maimon.

Lain pula ceritanya dengan pengusaha butik-butik perkahwinan yang selama ini mengenakan harga yang agak mahal untuk khidmat mereka yang kadangkala tak semenggah harga. Kebanyakan butik-butik perkahwinan kini telah mengalami kemerosotan selepas masyarakat sedar yang perkahwinan sebenarnya tidak perlu pun bermewah-mewah walaupun bergelar Raja Sehari.

Seorang pengusaha butik perkahwinan di ibu kota, Datin Rokiah memberitahu wartawan kami, "dalam tempoh dua hari ni hanya ada satu sahaja tempahan masuk. Seorang lelaki, datang nak sewa keris sahaja. KERIS SAHAJA! Berapa saya nak caj? Saya kenakanlah satu hari RM2, jumlah semua RM10 untuk 5 hari. Macam mana saya nak teruskan perniagaan kalau selepas ni makin ramai yang datang dan minta nak sewa tengkolok sahaja ke?"

Apabila diminta mengulas lebih lanjut kenapa perkara tersebut berlaku, Datin Rokiah memberitahu yang selepas keluarnya status di Facebook oleh Datuk Ismail Sabri, masyarakat Melayu telah mempunyai satu persepsi yang berbeza mengenai nilai yang berbaloi untuk dibayar.

"Saya diherdik. Saya dicaci. Ada pelanggan yang jumlah tempahannya RM15 ribu lebih, telefon saya batalkan tempahan. Dia kata buat apa dia bayar ribu-ribu hanya untuk sewa 2 hari peralatan. Saya tak tau nak jawab apa, kemudian dia kata dia nak majlis yang murah dan diberkati dan tak perlu bermewah-mewah, saya jawab lah balik, saya tak ada pakej yang tak bermewah-mewah, semuanya kenalah grand-grand, terus dia letak telefon," ujar beliau lagi.

Adakah fenomena boikot yang dicetuskan oleh Datuk Ismail Sabri ini akan berterusan dan mengakibatkan penurunan harga atau ia hanya akan menjadi sekadar hangat-hangat tahi ayam?

Kami ingin bertanyakan kepada anda satu soalan; jika anda memboikot peniaga Melayu yang anda rasa patut diboikot, adakah itu sebenarnya dibenarkan dalam masyarakat kita?

Sila berikan respon anda di forum kami dan kami sangat-sangat mengalu-alukan pendapat anda, untuk diperbincangkan. - Berita Huraian


.....................

Kau selalu kata Cina tipu Melayu guna nama Islam dekat produk.
Kau nampak gambar tu? Kau fikirlah sendiri.

Februari 04, 2015

Review Buku : Prognosis (Diagnosis 2)

Aku dah lama menanti-nantikan sekuel kepada buku Diagnosis terbitan DubookPress ni.

Walaupun aku bukan seorang doktor dan family aku tak ada sorang pun jadi doktor, kecekalan seorang doktor menjalankan tugas dia sehingga terpaksa meninggalkan pelbagai perkara membuatkan aku ingin mengenali lebih rapat lagi bagaimana kehidupan seorang doktor.

Lagipun, aku selama ni mencari jawapan kepada satu persoalan "Kenapa Doktor hanya kahwin dengan Doktor?"

Ramai orang yang sharekan petikan-petikan dari buku Prognosis (Diagnosis 2) yang telah mereka beli dan khatam di Twitter aku. Ada satu part di mana Doktor Lelaki ini telah sedar yang wanita yang didepannya (juga seorang Doktor) adalah jodoh kepada dia dan memang dah ditakdirkan akan menjadi pasangannya till Jannah membuatkan aku sedar, mungkin hanya Doktor yang mengerti bagaimana perasaannya berkahwin dengan Doktor.

Aku suka part jiwang2 ni. Mungkin memang Melayu camtu kot.

Jadi aku berkobar-kobar membeli buku Prognosis(Diagnosis 2), sekuel kepada Diagnosis atau dalam kata publisher, sebenarnya adalah prekuel kepada Diagnosis 1, karya hangat yang popular seantero Malaysia. Pada mulanya aku beranggapan karya di dalamnya mungkin sama seperti Diagnosis tempohari, ditulis oleh 3 orang doktor dan kini sekuelnya pula ditulis oleh seorang Doktor sahaja. Dr. JackNaim? Siapa tu?

Hahaha. Tah! Aku bajet ini mesti Dr.Anwar Fazal punya nama pena. Tak perlulah cuba merendah diri dan menggunakan nama pena lain Doktor, kerana rasanya, satu Malaysia dah tau, siapa Doktor Anwar Fazal yang jadi kegilaan ramai gadis kerana suara merdu anda. Mungkin sebab itu juga tajuk tidak menggunakan perkataan Diagnosis. Tepat tajuk "Prognosis" dipilih kerana prognosis digunakan untuk menggambarkan ketidak tentuan/ tiada kesimpulan dalam sesuatu rawatan perubatan. (yang aku paham la, aku tak suka medic2 ni)

Tajuk itu gamaknya lebih sesuai untuk menunjukkan di mana penulis sedang berada ketika itu. Zaman sebelum beliau established diri beliau sebagai seorang pakar perubatan.

Aku baca buku tu dalam masa dua hari jugak la sambil berperang dengan anak dan curi-curi masa. Yang pelik, ini aku betul2 pelik, mana dia bab bercinta dengan kekasih yang orang ramai Twitkan tu? Kalau ada yang dah baca, tolong bagitau aku bab mana part bertentang mata Doktor dan Doktor Wanita tu sebab dah berkali2 aku cari, tak jugak aku temui.

Kesimpulan yang aku dapat, Doktor Anwar Faz...eh...sori2...Doktor JackNaim MD telah berjaya menulis prekuel yang menampakkan peningkatan dalam penulisan beliau. Jika sebelum ini Diagnosis 1 boleh dikatakan boleh membuatkan pembaca sedikit bosan dalam beberapa babak, sekuelnya pula iaitu "Prognosis" membawakan rentak yang lebih matang dan boleh dikatakan lebih dekat masyarakat.

Kalau dalam ayat aku, lebih humble.

Pembaca seperti aku lebih mudah relate kerana aku dapat merasakan diri aku diletakkan di dalam kasut Dr.Anw...eh..Dr.JackNaim MD dan boleh aku rasakan penat lelah beliau. Jika dibandingkan antara Diagnosis 1 dan dalam Prognosis,  aku boleh katakan penulisan beliau kali ini lebih personal, lebih jujur, ikhlas dan lebih dekat dengan masyarakat berbanding buku pertama beliau. Ini mungkin kerana penulisan kali ini diwartakan daripada pemerhatian beliau sendiri dan tidak perlu beliau berkongsi lampu limpah dengan mana-mana penulis lain.

Aku suka beberapa bab yang menceritakan perihal beliau yang kerap hilang peralatan dan tak lupa juga garapan beliau yang masih lagi mencari cinta. Cinta mengenal kerjaya, mengenal jiwa dan mengenal Pencipta.  Adakah Prognosis adalah satu penaik taraf berbanding buku Diagnosis 1?

Ya. Ia lebih personal dan ikhlas aku katakan, lebih mesra dengan orang ramai.

Bila kau pegi klinik, kau jumpa Doktor, kau rasa ada hadangan, ada sempadan yang wujud antara kau dan doktor kau, tetapi dari buku Prognosis ini, doktor yang menulis itu adalah seolah-olah sedang duduk di depan kau, dekat beranda rumah, ditemani angin sepoi-sepoi bahasa sambil pokok bergoyang perlahan....dan kau dengan dia sedang minum kopi bersama-sama.

Tidak ada lagi jurang pemisah antara doktor dan masyarakat. Kau dan dia hanyalah manusia biasa yang boleh melakukan kesilapan dan boleh melalui kejayaan.

Februari 02, 2015

Getah Penyendal Pintu Rumah Kami Yang Berwarna Merah

Hari Jumaat hari tu, bila aku nak hantar anak aku gi sekolah, aku cuba sendalkan pintu rumah aku dengan getah penyendal ni.

Pintu aku gagah mahu menutup kembali dirinya. Aku cuba tekan dan tekan dan tekan getah ni ke dalam lagi supaya sekurang-kurangnya dapat aku dukung anak aku keluar dan biarkan pintu tertutup kemudiannya. Pintu rumah aku pintu rintangan api jadi ada penolak pintu yang akan tarik pintu tutup balik. Gagal jugak.

"Ah, persetankan saja!" Aku sangkut beg baju dekat badan, angkat dia punya beg bekal dan dukung anak aku, kemudian tarik pintu pakai tangan dan tahan pintu pakai kaki sambil anak aku meronta-ronta nak turun. Budak-budak baru dapat kaki memang dia nak berjalan ke mana-mana saja. Aku rasa kalau aku biar aje dia berjalan, sampai Kedah pun dia boleh sampai.

Bila pintu dah tak boleh ditahan lagi dah dengan getah merah dalam gambar tu, barulah aku teringat beberapa hari sebelum tu isteri aku pesan suruh beli pendenal pintu lain sebab dia kata dah tak berfungsi. Aku seperti biasa masih lagi mengamalkan prinsip 3C dalam hidup iaitu "cheap, cheapskate dan cantik" jadi selagi aku tak betul2 pasti sesuatu tu dah tak boleh pakai, aku akan pakai. Bila nak carik ganti pun aku akan carik yang paling murah, yang paling berbaloi dan yang paling cantik.

Siapa kata barang murah tak ada yang cantik?
Ada. Cuma kau kena sabar mencari.

Hari Khamis haritu, lepas aku gi beli barang dekat Tupperware aku gi Aeon, gi Daiso beli penyendal pintu nak gantikan penyendal getah merah ni. Cantik jugak la design dia. Daiso punya barang semua RM5 jadi ok la, dapat dua penyendal pintu dengan harga RM5.

Aku nak buang penyendal pintu merah ni masa aku kemas rumah tadi. Tapi, kau tau apa yang terjadi dekat aku bila aku pegang penyendal pintu tu? Aku terkenang betapa berjasanya benda ni dekat aku sebab itulah penyendal pintu aku dari first time kami duduk rumah ni dan sehinggalah sekarang kami dah ada anak dua.

Aku teringat balik detik bila aku beli penyendal pintu tu dekat kedai hardware mana tah, sebab aku tengah carik drill waktu tu. Kemudian aku terimbau semula kenangan bila ada sekali penyendal pintu tu tergelincir dan aku punya jari terkepit dekat bawah pintu tu. Juga ada waktu bila dia tergelincir, anak aku cuba tahan pintu tu sedaya upaya sebab takut pintu tertutup.

Atau semua waktu di mana kami kelam kabut nak keluar rumah sebab bila kau ada anak seorang, apa-apa saja benda kau buat, kau tambah 10 minit kepada semua benda kau nak buat. Nak keluar rumah pun kena bergaduh dan bergusti dengan anak. Ada waktu di mana aku marah gila, sudah lah baru kena amaran jangan datang lambat kerja hujung 2 tahun lepas tapi anak aku boleh buat selamba nak pilih dulu permainan dia sambil aku berdiri dekat pintu.

Kalau penyendal pintu ni boleh bercakap, dia mesti kata kat aku "banyakkan bersabar."

Tiap-tiap hari kami sekeluarga keluar masuk dengan bantuan penyendal pintu ni. Apatah lagi bila balik dari membeli belah dan anak aku tak dapat apa yang dia nak, mengakibatkan dia tak nak masuk rumah, aku terpaksa biarkan pintu terbukak dan tahan dengan penyendal pintu tu untuk pastikan aku nampak dia duduk luar.

Itu adalah penyendal pintu pertama aku dengan isteri aku sebagai suami isteri.

Bila aku tengok balik ke belakang, dari kami berdua, jadi bertiga dan sekarang jadi berempat, penyendal pintu tu masih lagi setia kat situ, menahan pintu untuk kami setiap masa bila kami nak keluar masuk. Setakat yang aku ingat, ada sekali ajelah anak aku terkepit tangan kat pintu tapi itu pun nasib baik tak kuat.

Pergh.

Banyaknya jasa kau dekat keluarga aku ni bro.

Aku tak berapa suka simpan barang2 lama ni sebab pada aku tak praktikal. Mak aku, jenis suka menyimpan. Kalau kau pegi rumah aku kat Kedah, kau akan nampak macam2 benda yang mak aku kumpul terutamanya majalah dan keratan akhbar. Aku pun tak pasti kenapa mak aku suka benar simpan barang yang aku tak pernah pun tengok mak aku bukak balik. Especially keratan akhbar.

Banyak kali dah aku bagitau kat mak aku, buang aje lah barang2 tu. Pemain VCR lama? Ada dua bijik kat rumah aku. Pemain piring hitam? Aku rasa ada lagi siap ada vinyl Uji Rashid last sekali aku cek. Baju? Beberapa almari. Majalah? Adalah dalam 3 rak buku. Buku? Tak terkira. Ada jugak la terpaksa dibuang lepas Alor Setar banjir tahun 2010 hari tu.

Bila dah ada anak barulah aku paham kot kenapa, walaupun semak, walaupun serabut tengok, walaupun sakit hati aku tengok (aku jenis tak boleh tengok barang tak tersusun) mak aku tetap bertegas tak nak buang barang2 dia tu yang kini dah penuh satu bilik tidur yang dijadikan stor.

Aku dah nak kahwin masuk tahun ke 5.

Memori mak bapak generasi aku ni, kitorang boleh selamatkan dalam pelbagai medium. Gambar yang tak terkira banyaknya dan video yang kau boleh kronologikan dari anak kau lahir hinggalah anak kau besar.

Tapi untuk generasi mak bapak kita, rasanya memori diorang hidup dalam gambar yang statik, helaian negatif gambar yang tak terkira banyak jumlahnya dan...barang-barang yang pernah disentuh, diguna dan dipakai oleh orang-orang yang mereka sayang.

Kita mungkin boleh tengok video anak kita membesar dan rasa sedih dan sayu mengenangkan apa yang kita dah lalui tapi macam mana hebatnya teknologi sekalipun, memori yang paling hebat adalah memori yang bermain dalam bentuk video dalam kepala kau, tiap2 kali kau terpandang sesuatu, sentuh sesuatu, yang membuatkan kau teringat sesuatu.

Aku harap korang masih sedar, yang korang baru aje baca satu artikel panjang yang diinspirasikan dari sebijik penyendal pintu berwarna merah. Aku rasa nak simpan penyendal pintu ni dan jadikan barang warisan turun temurun ke anak cucu. Mungkin masa tu, diorang punya pintu pakai laser dan dijaga oleh robot.