Jun 20, 2016

Penguatkuasa Majlis Perbandaran Anjing Yang Suka Gigit Bangsa Sendiri

Suasana riuh di tepi bazar Ramadhan itu. Lori Majlis Perbandaran datang dan turun beberapa orang anggota meninjau gerai yang berada di seberang sana.

"Maaf Kak. Akak tak boleh meniaga di sini," kata pegawai penguatkuasa.

"Kau jangan la kacau kami carik rezeki! Anjing!" kata Kakak peniaga tersebut. Orang ramai mula berkerumun melihat sepasukan penguatkuasa bertengkar dengan 3 gerai yang ada di situ.

"Ini semua rasuah la ni. Dengki Melayu dengan Melayu! ANJINNNNGGGG!" jerit Kakak peniaga itu menarik perhatian orang.

"Kan kami dah bagi notis hari tu Kak, kami bagi masa untuk akak cari tapak lain yang dibenarkan," soal penguatkuasa lelaki itu.

"Boooo! Boooo! Majlis Perbandaran jahat woi! Tekan orang Melayu meniaga!" kedengaran jeritan dari jauh. Beberapa pelanggan yang mahu mendapatkan kuih dari gerai kakak tersebut mula menjauhkan diri.

"Kau tak usah hirau diorang ni dik. Anjing aje semua ni, suka kacau orang meniaga," kata Kakak tersebut sambil memanggil semula pelanggannya yang lari. Mereka nampak serba salah.

"Kau tak kesian ke dekat aku woi! Kau nampak tak aku anak berapa orang? Nak harap kat kerajaan, jahanam! Tak payah la kau jadi anjing diorang, biar aje la aku meniaga sini, gi balik!" jerit Kakak itu lagi.

"WOOF WOOF! ANJING WOI! ANJING DATANG BAWAK LORI!" jerit dari jauh.

Ada yang menjerit "Melayu tak nak tolong Melayu woi! Gi mampus la majlis perbandaran!"

Pegawai penguatkuasa berempat mula berpeluh. Tugas terpaksa diteruskan. Simpati pun ada, tapi memandangkan notis sudahpun diberi dan lanjutan tempoh sudah pun dilanggar, mereka terpaksa ambil tindakan.

"Maaf Kak. Kami terpaksa sita semua barang perniagaan Kakak hari ni," kata Pegawai wanita itu.

"JANGAN! JANGAN! ANJING! JAHANAM! BABI KAU SETAN! ANAK AKU NAK BERAYA NANTI AKU NAK AMBIK DUIT MANA!" jerit Kakak itu. Orang sekeliling mula mengeluh melihat tindakan Pegawai yang mengangkat bekas berisi kuih dan meja. Payung besar merah itu ditutup lalu kesemua barangan niaga kakak tersebut dimasukkan ke dalam lori.

"Booo! Anjing! Booo! Tali barut!" jerit ramai manusia yang singgah di bazar Ramadhan tersebut. Kakak itu menangis melihat barangannya disita sambil tangannya memegang anaknya yang baru berumur lingkungan 3 tahun.

2 lagi gerai bersebelahan dengan cepat mengemaskan barang lalu disimpan terus di dalam kereta apabila melihat tindakan sita dilakukan. Pegawai penguatkuasa melihat sahaja mereka mengemas kerana tak sempat mereka menyita dua lagi gerai itu yang dilaporkan beroperasi secara haram.

"ANJING! ANJING! ANJING! ANJING! GIGIT BANGSA SENDIRI!" jerit beberapa orang yang berkunjung ke bazar Ramadhan tersebut. Deruman lori MPAJ berbunyi dan lori itu menyusur pergi meninggalkan sekelompok manusia yang masih lagi memaki mereka.

Zafwan mengeluh. Dia menjeling ke arah Siti yang duduk di belakang. Ramli yang memandu pun turut sama. Jamal yang masih lagi menoleh ke belakang melihat bazar Ramadhan yang ditinggalkan. Mengalir air mata beliau mengenangkan raungan Kakak itu.

"Takpe, ini tugas kita. Apa orang kata pun, kita kena tahan, mereka aje yang tak tahu," Zafwan berkata.

"Berat benar nak kena tanggung job ni, jadi bahan masyarakat aje," Jamal bersuara. Ramli hanya tersengih mendengar kata Jamal.

"Kau baru lagi, nanti lama-lama kau biasa la," Ramli berkata. Siti hanya senyum mendengar perbualan mereka. Tak mahu dia menyampuk. Hati wanita mana yang mampu menahan apa yang baru saja dia saksikan.

"Kalaulah orang kita faham, yang buat laporan pasal gerai haram tu pun orang Melayu yang ada permit untuk bukak gerai dekat tempat yang telah dibenarkan, rasanya tak ada la diorang kutuk kita ni suka-suka nak tindas bangsa kita sendiri," keluh Jamal lagi.

"Itulah dia hidup Pegawai Penguatkuasa ni, kau buat kerja kau salah, kau tak buat kerja kau pulak, orang kata kau makan gaji buta," Zafwan menambah.

Jamal membaca laporan yang diterima mereka berkenaan tiga gerai haram yang meniaga di sekitar bazar Ramadhan tanpa permit dan pembayaran sewa.

"Yang tukang report ni, bukannya nak datang backup kita langsung ke?" Jamal bertanya.

"Ada dia tadi. Dia tengok dari jauh je, aku nampak. Persatuan peniaga kat situ dah setuju untuk lapor sebab yang meniaga kat tepi parking tu, semua jenis mengelat tak nak bayar harga tapak, lokasi pun tak sesuai," terang Ramli.

"Ooooo, kiranya ni, orang ramai lawan orang ramai..." jelas Jamal sekarang.

"Tapi kita yang jadi mangsa," tambah Siti tiba-tiba. "Macam kita ni bukan rakyat, bukan Melayu, tiap-tiap kali kena buat sitaan ni."

Tergelak mereka bersama-sama. Lori mereka menyusur ke bazar berikutnya. Ada 4 lagi gerai untuk disita hari itu dan dugaannya pula, sukar dijangka.

Tiada ulasan: