Februari 08, 2017

Harga Minyak Bakal Naik, Ini Semua Angkara Najib


1. Ramai masih lagi terpengaruh dengan ramalan sesetengah pihak yang minyak akan naik RM2.70 satu liter.

2. Ramai yang menyalahkan PM Najib hanya sebab "ramalan" daripada pihak ni.

3. Benda belum jadi pun bang. Nak marah-marah kenapa?

4. Sebenarnya, anda boleh kira sendiri berapa harga minyak dan anda pun boleh agak-agak harga minyak Mac nanti.

5. Nak mengira harga minyak ni mudah aje;

6. Harga proses minyak + Harga Minyak Ikut Pasaran Satu Liter = Harga Minyak Kita

7. Harga Proses Minyak ni dah tetap = RM0.33 sen

8. Harga Minyak Ikut Pasaran = Purata harga sebulan minyak 1 tong mengikut harga MOGAS95 Singapore

9. Untuk mendapatkan ni, kena rujuk harga purata minyak tu dalam sebulan, makan masa lah sikit. Kena rajin la, kalau tak rajin, kita mudah diperbodohkan.

10. Katakanlah, kita ambik harga purata 66 dollar satu barrel. USD66 convert ke RM ikut rate 4.44 sama dengan RM293.04

11. Satu barrel = 159 liter = RM293.04

12. RM293.04 / 159 = RM1.843

13. RM1.843 adalah harga minyak sahaja. Sekarang kita campurkan harga proses minyak RM0.33.

14. Kita dapat RM2.173

15. Harga minyak kita sekarang? RM2.30. Itu bermakna purata harga minyak Januari dalam USD68-69 satu barrel.

16. Adakah ada kemungkinan minyak naik RM2.70 satu liter? Ada. Kenapa tak ada pula?

17. Apabila harga minyak ikut pasaran mencecah USD78 setong dan exchange rate kita masih di antara 4.30-4.50 dengan USD, minyak kita akan naik jadi RM2.70 satu liter.

18. Jika anda monitor harga minyak dalam seminggu bulan Februari ni, sebenarnya harga minyak dah turun ke aras 68 dollar selepas mencecah hampir 71.50 dollar satu tong.

19. Rumusannya, kena ingat dua benda; harga proses minyak 0.33 sen, satu barrel mengandungi 159 liter petrol. Kemudian kena rajin semak harga pasaran minyak dan kadar tukaran RM dengan USD.

20. Kondisinya : Ringgit mengukuh berbanding dollar dan harga minyak kekal, harga minyak turun. Ringgit lemah dan harga minyak pasaran naik, harga minyak naik banyak.

21. Hakikatnya, harga minyak ni sama dah macam harga ayam mentah, ikan, sayur atau apa saja bahan mentah yang kita beli hari-hari tu. Akan ada naik turunnya.

22. Kos perubatan pun dah naik ni, jadi rasanya elok dah kita tak perlu stress-stress sangat pasal harga minyak ni. Maki Najib pun, bukannya dia yang tentukan harga minyak kita.

23. Harap jangan malas monitor harga dan mengira pada hujung bulan.

24. Sampai bila masyarakat kita nak terpedaya dengan berita-berita palsu?

Februari 05, 2017

Bacaan Hujung Minggu : Berani Lawan Kerajaan, Kena Beranikan Diri Lawan Majikan Juga

Bacaan Hujung Minggu

1. Banyak masalah masyarakat urban wujud kerana kos sara hidup. Pusinglah macam mana pun kes skandal menteri dijaja, perkara asas orang tak puas hati dengan kerajaan majoritinya berpunca dari kos sara hidup dan kualiti hidup.

2. Tol naik, minyak naik, jalan sesak, ada highway masih jem, masa banyak terbuang atas jalan, kos hantar anak nursery naik dll.

3. Orang bandar mengharap kerajaan ditukar untuk memperbaiki semua masalah ini dan mengharapkan supaya orang luar bandar pun sama-sama berani undi macam orang bandar, supaya kerajaan baru mampu memperbaiki semua masalah kos sara hidup ini.

4. Tapi masalah dia bukan dekat kerajaan.

5. Masalah dia dekat gaji kau kecik.

6. Itu aje.

7. Di Malaysia, purata perbelanjaan gaji dan keuntungan syarikat tidak seimbang. Gaji di Malaysia memang dibayar rendah. Itu fakta yang majikan jenis tamak tak boleh sangkal.

8. Sebab tu ada yang kerja sampai malam tanpa dapat overtime tapi bos mampu tukar kereta mewah kerap kali.

9. Rezeki dia memanglah rezeki dia. Tapi kalau dia tukar kereta mewah tapi pada masa yang sama, sengaja bayar gaji rendah kat pekerja dan banyak ambil kesempatan kerana dia BOS, itu masalah. Aku pernah kerja dengan orang yang tak bayar gaji tapi dia tukar kereta baru. Sakit hati bang.

10. Masalah tu takkan selesai hanya dengan pertukaran kerajaan. Kita ada akta yang melindungi hak pekerja, kita ada akta yang memastikan gaji minima sejam berapa. Kalau anda sebagai pekerja tak tau dan tak peduli pasal benda-benda ni, susahlah.

11. Tahun 2017, aku masih lagi dengar cerita jawatan admin di bayar RM800, beratlah.

12. Susah kau nak jumpa majikan yang peduli pasal kebajikan pekerja dan yang mampu berlaku adil. Yang tak perah kau lebih dari apa yang kau perah dia. Kalau dapat, bersyukurlah.

13. Bagaimanapun, kita kena pandailah.

14. Takkanlah semua benda kita nak harap orang lain lawan untuk kita?

15. Jika di Amerika, gaji minimum 8 dollar sejam pun pekerja McDonald kata tak cukup lalu diminta USD15 sejam, nampak benar solusi dia bukan sekadar pelaksanaan gaji minima.

16. Pekerja kena mula kenal apa hak dan kuasa mereka kerana dah terlalu ramai jutawan Melayu yang hebat lahir, tapi dia jugaklah majikan yang paling kedekut haji bakhil.

17. Walau bagaimanapun pucuk pangkalnya, persoalannya yang asas sebelum anda mula melawan majikan, "adakah anda pekerja yang baik?" Kalau ya dan diakui oleh orang lain selain mak anda, teruskan melawan.

Disember 13, 2016

Konspirasi Menjahanamkan Melayu Kerana Melayu Ini Bangsa Istimewa

1. Adakah "Moana" satu konspirasi mempromosikan Dajjal?

2. Tidak. "Moana" adalah sebuah filem yang ingin menceritakan mengenai watak seorang wanita yang berkawan dengan seorang Demi God berdasarkan kisah dan kepercayaan orang Maui.

3. Begitu juga filem seperti Exodus, Noah dan termasuklah Thor dalam Avengers itu sendiri yang memaparkan watak manusia sebagai Tuhan atau pelakon memegang watak sebagai Nabi.

4. Bila kita berbicara mengenai konspirasi, apa yang kita bayangkan sebenarnya?

5. "Satu mesyuarat dihadiri orang-orang musuh Islam, di mana ada meja bersidang sambil berbincang bagaimana nak luaskan agenda Dajjal dan menyesatkan orang Islam supaya semuanya murtad, kemudian angkat tangan untuk undi jalan cerita mana yang mereka nak buat selepas itu supaya orang Islam lalai dan putuskan production house mana yang akan produce cerita tersebut? Disudahi dengan makan karipap."

6. Kalau itu adalah apa yang kau rasakan berlaku, anda silap.

7. Semua yang kau katakan sebagai satu konspirasi atau gerakan terancang itu sebenarnya adalah sesuatu yang dilakukan secara semulajadi oleh pihak-pihak yang kau katakan merencanakan konspirasi.

8. Kita nampak macam konspirasi, tapi apa yang mereka buat adalah rutin harian mereka kerana itu adalah apa yang mereka percayai. Mereka percaya penghasilan penerbitan yang memaparkan watak Demi-God, Son of God, Dewa, Dewi, Tuhan mereka sendiri atau apa saja yang berkaitan pegangan spiritualiti mereka adalah langkah yang bagus untuk memvisualkan cerita yang ingin disampaikan.

9. Mereka menyampaikan cerita kerana mereka ada cerita ingin disampaikan dan mereka percaya apa yang mereka buat itu berfaedah untuk semua, termasuklah kita orang Melayu Islam.

10. Cuma, kita pandang benda tu sebagai konspirasi kerana apa yang dipaparkan, contohnya dalam filem 'Noah' tidak sepatutnya divisualkan dan menjadi satu kesalahan untuk mereka memfilemkan watak Noh dan bagaimana kisah bahtera Noh mengalami banjir besar.

11. Aku faham kenapa ada yang katakan ini semua konspirasi. Kau dah tengok 'Noah'? Akan ada adegan dalam filem tersebut di mana kau akan 'terpercaya' yang Russell Crowe itu memang Noh sebenar dan kau pun akan terpedaya yang Noh memang cakap English pada zaman dia. Kau akan masuk dalam filem tu.

12. Itu sebabnya sesetengah filem diharamkan di negara kita. Bukan kerana kita ni lemah benar iman, tetapi kerana keberkesanan paparan filem-filem seperti itu boleh membuatkan seseorang itu masuk ke dalam filem dan mula sedikit-sedikit terbuka minda terima apa yang ingin disampaikan oleh pembuat filem.

13. Filem adalah medium yang sangat efektif. Berapa orang jadi takut hantu lepas tengok filem hantu? Kau aplikasikanlah perkara sama lepas kita tengok filem-filem berkenaan spiritualiti yang memaparkan watak Tuhan ni. Kau akan terpengaruh.

14. Sekali kau dah anggap Tuhan itu ada watak dan bentuk pun, dah boleh rosak akidah kau, kan?

15. Berbalik kepada soalan asal, adakah itu semua konspirasi?

16. Pada aku tidak. Apa yang mereka lakukan adalah berdasarkan apa yang mereka rasakan hendak buat, sesuai buat, seronok buat dan akan diterima oleh orang ramai.

17. Begitu juga dengan penglibatan George Soros dalam politik kita. George Soros benar-benar percaya apa yang dia buat itu akan membantu politik kita dan kita benar-benar memerlukan bantuan kewangan dari dia kerana dia benar-benar percaya kerajaan kita sekarang perlu diturunkan. (Nota : tolong jangan benarkan dia masuk campur urusan negara kita, tolong boikot pihak yang nak dia campur tangan)

18. Konspirasi adalah pakej mudah untuk mensensasikan sebarang bentuk aktiviti yang tidak sehaluan dengan kita, supaya senang nak disampaikan dan tidak perlu banyak keperluan berfikir untuk fahami kenapa sesuatu itu perlu ditentang.

19. Sama juga seperti konspirasi gerakan Kristian di Malaysia. Konspirasi apa bendanya? Benda dah jelas, Malaysia berada dalam garis 10/40 yang pihak Kristian rasakan perlu dan wajar untuk diajarkan agama Kristian supaya Malaysia terus aman dan damai. Even deklarasi "mahukan Malaysia jadi negara Kristian" pun dah banyak kali dilaungkan. Semua tu ada dalam internet kalau kau carik.

20. Cuma agak sukar untuk terima konsep yang apa saja yang orang lain lakukan yang tidak sehaluan dengan kita bukanlah satu konspirasi, tapi sebenarnya perbuatan yang lahir dari kepercayaan yang mereka benar-benar percaya apa yang mereka buat tu, mereka rasakan baik untuk kita. Orang Kristian tu nak kita masuk Kristian kerana mereka percaya kita perlu dibantu.

21. Tetapi, sayangnya, jika kita tengok, kita sendiri walaupun nak memperjuangkan Islam berdegar-degar tapi perbuatan kita tak ada. Kau masih lagi pakai short main futsal. Bini kau masih lagi pakai baju ketat pergi kerja. Kita masih lagi tak peduli bila anak kena solat.

22. Lihat pula dari segi perbuatan kita. Kita berpecah belah. Agak jelas kurangnya suntikan elemen Ketuhanan dalam media kita. Jika kita hasilkan animasi, animasi kita lebih mirip kartun Barat atau kartun Jepun. Kalau ada pun animasi yang memaparkan elemen-elemen Islam, selalunya tak laku kerana produknya setengah masak atau dihasilkan bukan untuk ditayang di Malaysia, untuk pasaran negara Arab.

23. Masyarakat kita suka perihal konspirasi tetapi kita sendiri segan-segan mahu ambil elemen agama, spiritualiti, ketuhanan dan dimasukkan ke dalam apa yang kita hasilkan. Entah kenapalah. Mungkin kerana kita terlalu mengamalkan prinsip sekular, ibadah lain, kerja lain. Tak boleh campur-campur agaknya.

24. Jadilah kita masyarakat suka konspirasi, kerana kita lemah. Kita jaja konspirasi kerana itu cara mudah nak terangkan kenapa kita lemah. Yang pandai antara kita pula, tak ramai yang nak usahakan promosi elemen Islam dalam produk, kerana takut tak boleh masuk pasaran antarabangsa.

25. Kepakaran dah ada, kenapalah kita tidak ada filem orang Islam yang hendak berperang melawan makhluk perosak yang secara tersiratnya adalah Dajjal? Kita pula yang terhegeh-hegeh nak masukkan watak Thor, anak Tuhan bernama Odin ke dalam filem keluaran kita.

26. Kita orang Islam sendiri tak percaya yang Islam ini yang terbaik untuk umat satu dunia, kerana kita hanya percaya Islam ini terbaik untuk kita dan kita saja.

November 14, 2016

Masalah Disiplin Pelajar Di Sekolah Mampu Di Atasi Kalau Ibu Bapa Kena Bayar Yuran Bulanan

1. Melihat masalah yang berlaku di sekolah, khasnya sekolah menengah memang mampu menerbitkan rasa risau.

2. Dilaporkan sebanyak 13,359 pelajar sekolah menengah dan rendah terlibat dengan salah laku yang bertaraf jenayah.

3. Setiap hari, sepanjang seminggu dua ni aku membaca keluh-kesah golongan pendidik. Begitu jugalah bila aku dengar kawan-kawan aku bercerita mengenai masalah moral dan sivik anak murid mereka.

4. Terlalu banyak kekangan yang dikenakan oleh pihak kerajaan sehingga membuatkan golongan guru seolah-olah takut untuk mendisiplinkan anak murid mereka sendiri. Itu tekanan yang wujud dari pihak pembuat dasar yang kebanyakannya terlalu membanggakan diri dengan jumlah A dan statistik peningkatan markah, lalu diambil sebagai bukti penambahbaikan berlaku.

5. Begitu juga kekangan dari pihak ibu bapa sendiri yang dah terlalu membiasakan anak mereka sehinggakan lebih menyebelahi anak daripada guru dalam pelbagai situasi. Anak sebut sikit dah melenting dan datang menyerang pihak sekolah.

6. Apatah lagi dengan wujudnya ancaman viral pada zaman sekarang. Salah sikit viralkan. Anak mengadu, datang sekolah tangkap gambar guru, post di fesbuk dengan tujuan "nak bagi kesedaran pada masyarakat."

7. Kita semua tahu tingkah laku memviralkan sesuatu kes itu kebanyakannya dilakukan tanpa usu periksa. Majoritinya, begitulah. Asal nak viral, asal tersebar. Betul atau tidak, belakang kira.

8. Pada pandangan aku ini semua juga berpunca daripada meningkatnya tahap kurang kepercayaan kita kepada sistem sedia ada, yang sebenarnya berpunca daripada kelesuan Kementerian Pendidikan yang lebih gemar menjadikan anak murid, guru dan sekolah sebagai tikus hamster makmal untuk pelbagai eksperimen yang akan bertukar setiap kali dasar/menteri bertukar.

9. Orang muak dengan pengaruh politik ke atas dasar pendidikan sehingga sampai ke peringkat akar umbi, guru pun kena tempias sama dalam mendapat ketidakpercayaan masyarakat.

10. Jika kita bandingkan, mengajar di sekolah rendah dan menengah merupakan dua pengalaman yang agak berbeza dari segi tingkah laku murid. Apatah lagi apabila kita bandingkan pengalaman mengajar guru sekolah harian dan guru sekolah pelajar terpilih.

11. Aku diceritakan satu pengalaman menakutkan di mana seorang guru wanita baru menghadapi masalah diganggu oleh pelajar sehingga membuatkan dia tidak mampu mengajar.

12. Bila mendengar kes-kes tersebut, membuatkan aku terfikir, apa akan berlaku jika kita kekurangan guru yang mahu ke sekolah menengah? Masyarakat mudah menyalahkan guru kerana guru ada, tetapi masyarakat juga akan menyalahkan sistem pendidikan kalau guru tak cukup.

13. Aku cenderung untuk setuju dengan pendapat sesetengah pihak yang inginkan berlaku usaha untuk menjadikan guru peringkat pra sekolah dan peringkat sekolah rendah sebagai fokus kepada penambahbaik sistem pendidikan kita.

14. Bagaimanapun, dengan peningkatan kemahiran guru dari segi pedagogi dan juga kandungan pendidikan, apa pula usaha kita sebagai ibu bapa dalam membantu pihak sekolah dalam membantu mengawal disiplin para pelajar yang juga anak-anak kita?

15. Siapa yang melatih ibu bapa dalam memastikan disiplin anak terjaga supaya guru lebih banyak menumpukan perhatian dari segi aspek pendidikan dan bukan dari aspek membetulkan tingkah laku anak anda?

16. Tahap kesedaran ibu bapa amat perlu dalam membantu mempertingkatkan tahap disiplin murid. Seorang ibu bapa pun tahu mereka tidak akan menghukum anak jika tidak ada kesalahan dilakukan, jadi kenapakah prasangka tersebut tidak berapa diaplikasikan untuk golongan guru juga?

17. Langkah pertama dalam memperbetulkan persepsi kita terhadap masalah yang semakin kerap kita hadapi ini adalah dengan mempercayai golongan guru.

18. Kita sebagai masyarakat harus percaya yang guru mampu membuat keputusan yang efektif, bertindak mengikut budi bicara dan tidak berlaku penilaian yang selektif antara guru dengan pelajar, selagi tidak ada berlaku sebarang unsur jenayah digunakan.

19. Masyarakat kita saban hari membuka internet dan membaca berita-berita kurang enak mengenai kelakuan guru terhadap anak murid membuatkan tahap kepercayaan kita pada guru semakin menipis.

20. Itu, adalah saranan langkah kedua. Hentikanlah menyebar berita yang kita sendiri tak tahu apa punca dan kejadian. Sedikit demi sedikit kita sendiri sedang mensabotaj masyarakat kita dan lama-kelamaan, kita akan terpengaruh dengan apa yang kita sebarkan sehingga kita sendiri diulit rasa kurang percaya. Bukan setakat dalam pendidikan anak-anak kita, bahkan dalam pelbagai perkara lain.

21. Saranan ketiga pula, adalah dengan ibu bapa sendiri menanamkan sikap skeptikal terhadap anak mereka.

22. Come on lah. Kau sendiri tau waktu zaman kau kecik macam mana dan macam mana kreatifnya kita reka alasan dan bukti supaya kita terlepas dari kena hukum. Zaman sekolah menengah lagi lah, dah buat salah mana pernah kita mengaku kita salah. Semua benda kita cuba justifikasi kenapa kita lakukan.

23. Saranan terakhir aku pula adalah dengan memperkenalkan yuran bulanan sebanyak RM30 kepada penjaga yang berpendapatan isi rumah RM3000 ke atas dan dibayar kepada pihak sekolah melalui PIBG.

24. Entah kenapalah orang kita ni, bila dia kena bayar, baru dia ambik peduli. Pasal duit, senitif orang kita.

25. Hari-hari ada aje mak bapak kongsi bagaimana kejamnya pihak sekolah terhadap anak mereka. Duduk atas tar pun, salah. Kalau kena pumping atas tar, mau dia buat report polis.

November 10, 2016

Donald Trump dan Sikap Anti Islam Ikut Situasi


1. Satu benda yang aku tak faham benar mengenai geng-geng yang agak pro pembangkang ni adalah..

2. Bila bab dalam negara, mereka sanggup menolak Islam ke tepi

3. Hanya semata-mata untuk memastikan pembangkang boleh menang.

4. Bagaimana JAKIM dipermainkan, Tabung Haji diserang, bagaimana Mufti diperbodohkan dan pelbagai cadangan lain untuk membuang identiti Islam di Malaysia melalui pelbagai mesej-mesej yang kononnya memperjuangkan kebebasan.

5. Tapi bila propaganda Donald Trump berbunyi agak anti Islam...

6. Anda risau.

7. Tidakkah anda sedar agenda perjuangan pembangkang itu sendiri berbau anti Islam?

8. Anti Islam macam Trump ni senang nak nampak. Dia cakap jelas. Tapi buatnya belum lagi pun.

9. Anti Islam macam pembangkang dan gerakan NGO dia tu, susah sikit nak nampak. Dah buat dah.

10. Mereka takkan sebut mereka anti Islam.

11. Mereka akan sebut mereka tak mau agama dalam IC.

12. Mereka nak orang bukan Islam boleh kahwin orang Melayu Islam tanpa tukar agama.

13. Mereka nak Islam tidak lagi dapat keistimewaan dan bantuan kerajaan.

14. Mereka nak siapa-siapa pun boleh berkahwin dengan siapa-siapa atas dasar suka sama suka.

15. Mereka nak penganjuran kepada festival kebebasan seksual dibenarkan di negara kita.

16. Segala keputusan mahkamah yang mempertahankan Islam akan disanggah mereka.

17. Bukankah tindak tanduk itu juga mencerminkan anti Islam?

18. Anda tak risau?

19. Tak salah anda risaukan nasib komuniti Muslim di USA tu.

20. Tetapi perlu diingatkan, apa hujah kita nak pakai kalau ada orang tanya "habis tu, orang Israel kena sekat masuk Malaysia tak apa pulak eh?"

21. Anda nak jawab apa?

22. Kerajaan kita buat apa yang dia rasa elok untuk kita semua.

23. Kerajaan Donald Trump akan buat apa yang dia rasa elok untuk rakyat dia.

24. Orang kita bila bab politik especially belah pembangkang, sedaya upaya akan elak menggunakan hukum Islam sebagai hujah.

25. Contohnya kenapa pemimpin bukan Islam tak boleh naik pimpin negara majoritinya Islam. Ini hal yang mencetuskan perhimpunan orang Islam di Jakarta baru-baru ni.

26. Agak memelikkan apabila ada rakyat Malaysia risau benar keadaan umat Islam di USA dan Palestine, tetapi tidaklah berapa peduli dengan nasib umat Islam di negara sendiri hanya sebab dia nak kerajaan Barisan Nasional jatuh.

27. Ada la jugak beberapa orang yang mentertawakan pandangan Mufti Perak yang keluar Buletin Utama 2 hari lepas, yang mengharamkan umat Islam sertai Bersih 5 kerana dibiayai Yahudi.

28. Anda pro pembangkang tak tau ke? Mungkin sebab dalam portal kegemaran anda tak sebut.

29. Kelakar sebenarnya bila tengok semua ramalan pasal Presiden Trump. Dulu waktu Obama naik, ramai orang Islam yang puji sebab dia ada susur galur Islam.

30. Sekali dia luluskan bantuan kewangan ketenteraan paling besar dalam sejarah US untuk Israel dalam menentang kerajaan Palestin.

31. Apa yang penting sebenarnya, jagalah negara sendiri dan kekalkanlah keharmonian negara kita yang berbilang bangsa dan agama.

32. ...dan kepentingan Islam sebagai agama rasmi negara kita.

33. Apa yang Donald Trump, kita doakanlah dia buat yang baik-baik.