Februari 13, 2017

Masyarakat Troli


i

Norman berjalan di sebuah kompleks membeli belah. Selepas penat berjalan, dia duduk makan bersama isterinya di kedai makan. Norman perasan sepasang suami isteri berpangkat pakcik berbandingnya yang berjalan dengan menolak troli kosong.

Melihatkan situasi itu, rasa simpati Norman membuak-buak. Dia merenung pakcik itu, yang nampaknya macam orang susah.

"Entah bagaimana mereka hendak meneruskan hidup? Dengan keadaan ekonomi sekarang ni, kerajaan yang kurang prihatin dan harga barangan yang tinggi, adakah cukup untuk rakyat pergi berjalan-jalan dan pulang dengan troli kosong? Perubahan terhadap kerajaan perlu dilakukan dan generasi terdahulu perlu berani berubah seperti anak muda," tulisnya di laman media sosial dan dia memuatnaik gambar pasangan tersebut yang sudah dikaburkan wajahnya.

ii

Uncle Johan dan Auntie Nina berjalan berpimpinan tangan. Walaupun penat hampir seharian berjalan, rasa penat mereka hilang kerana tahu, keesokannya anak cucu akan datang melawat.

Barang yang dibeli sudah memenuhi troli yang ditolak, jadi terpaksalah mereka singgah di kereta sebentar untuk mengosongkan troli, kerana rancangannya mahu meneruskan beli belah selepas solat.

Kehadiran orang ramai pada hari itu membuatkan troli menjadi rebutan ramai, apatah lagi dengan perangai orang Malaysia yang amat tidak gemar memulangkan troli-troli membeli belah ke tempatnya, menyukarkan pengguna mendapatkan troli.

Uncle Johan amat pelik, apabila dia melintasi kedai sebentar tadi, duduk sepasang suami isteri muda. Isterinya leka memandang telefon sementara suaminya pula tidak henti-henti memandang mereka berdua sambil menunjukkan riak simpati.

"Kawan anak aku kot?" fikir Uncle Johan.

1 ulasan:

Flavnesz berkata...

Masyarakat hari ini lebih gemar membuat assumsi sendiri dari beramah mesra..