1. Melihat masalah yang berlaku di sekolah, khasnya sekolah menengah memang mampu menerbitkan rasa risau.
2. Dilaporkan sebanyak 13,359 pelajar sekolah menengah dan rendah terlibat dengan salah laku yang bertaraf jenayah.
3. Setiap hari, sepanjang seminggu dua ni aku membaca keluh-kesah golongan pendidik. Begitu jugalah bila aku dengar kawan-kawan aku bercerita mengenai masalah moral dan sivik anak murid mereka.
4. Terlalu banyak kekangan yang dikenakan oleh pihak kerajaan sehingga membuatkan golongan guru seolah-olah takut untuk mendisiplinkan anak murid mereka sendiri. Itu tekanan yang wujud dari pihak pembuat dasar yang kebanyakannya terlalu membanggakan diri dengan jumlah A dan statistik peningkatan markah, lalu diambil sebagai bukti penambahbaikan berlaku.
5. Begitu juga kekangan dari pihak ibu bapa sendiri yang dah terlalu membiasakan anak mereka sehinggakan lebih menyebelahi anak daripada guru dalam pelbagai situasi. Anak sebut sikit dah melenting dan datang menyerang pihak sekolah.
6. Apatah lagi dengan wujudnya ancaman viral pada zaman sekarang. Salah sikit viralkan. Anak mengadu, datang sekolah tangkap gambar guru, post di fesbuk dengan tujuan "nak bagi kesedaran pada masyarakat."
7. Kita semua tahu tingkah laku memviralkan sesuatu kes itu kebanyakannya dilakukan tanpa usu periksa. Majoritinya, begitulah. Asal nak viral, asal tersebar. Betul atau tidak, belakang kira.
8. Pada pandangan aku ini semua juga berpunca daripada meningkatnya tahap kurang kepercayaan kita kepada sistem sedia ada, yang sebenarnya berpunca daripada kelesuan Kementerian Pendidikan yang lebih gemar menjadikan anak murid, guru dan sekolah sebagai tikus hamster makmal untuk pelbagai eksperimen yang akan bertukar setiap kali dasar/menteri bertukar.
9. Orang muak dengan pengaruh politik ke atas dasar pendidikan sehingga sampai ke peringkat akar umbi, guru pun kena tempias sama dalam mendapat ketidakpercayaan masyarakat.
10. Jika kita bandingkan, mengajar di sekolah rendah dan menengah merupakan dua pengalaman yang agak berbeza dari segi tingkah laku murid. Apatah lagi apabila kita bandingkan pengalaman mengajar guru sekolah harian dan guru sekolah pelajar terpilih.
11. Aku diceritakan satu pengalaman menakutkan di mana seorang guru wanita baru menghadapi masalah diganggu oleh pelajar sehingga membuatkan dia tidak mampu mengajar.
12. Bila mendengar kes-kes tersebut, membuatkan aku terfikir, apa akan berlaku jika kita kekurangan guru yang mahu ke sekolah menengah? Masyarakat mudah menyalahkan guru kerana guru ada, tetapi masyarakat juga akan menyalahkan sistem pendidikan kalau guru tak cukup.
13. Aku cenderung untuk setuju dengan pendapat sesetengah pihak yang inginkan berlaku usaha untuk menjadikan guru peringkat pra sekolah dan peringkat sekolah rendah sebagai fokus kepada penambahbaik sistem pendidikan kita.
14. Bagaimanapun, dengan peningkatan kemahiran guru dari segi pedagogi dan juga kandungan pendidikan, apa pula usaha kita sebagai ibu bapa dalam membantu pihak sekolah dalam membantu mengawal disiplin para pelajar yang juga anak-anak kita?
15. Siapa yang melatih ibu bapa dalam memastikan disiplin anak terjaga supaya guru lebih banyak menumpukan perhatian dari segi aspek pendidikan dan bukan dari aspek membetulkan tingkah laku anak anda?
16. Tahap kesedaran ibu bapa amat perlu dalam membantu mempertingkatkan tahap disiplin murid. Seorang ibu bapa pun tahu mereka tidak akan menghukum anak jika tidak ada kesalahan dilakukan, jadi kenapakah prasangka tersebut tidak berapa diaplikasikan untuk golongan guru juga?
17. Langkah pertama dalam memperbetulkan persepsi kita terhadap masalah yang semakin kerap kita hadapi ini adalah dengan mempercayai golongan guru.
18. Kita sebagai masyarakat harus percaya yang guru mampu membuat keputusan yang efektif, bertindak mengikut budi bicara dan tidak berlaku penilaian yang selektif antara guru dengan pelajar, selagi tidak ada berlaku sebarang unsur jenayah digunakan.
19. Masyarakat kita saban hari membuka internet dan membaca berita-berita kurang enak mengenai kelakuan guru terhadap anak murid membuatkan tahap kepercayaan kita pada guru semakin menipis.
20. Itu, adalah saranan langkah kedua. Hentikanlah menyebar berita yang kita sendiri tak tahu apa punca dan kejadian. Sedikit demi sedikit kita sendiri sedang mensabotaj masyarakat kita dan lama-kelamaan, kita akan terpengaruh dengan apa yang kita sebarkan sehingga kita sendiri diulit rasa kurang percaya. Bukan setakat dalam pendidikan anak-anak kita, bahkan dalam pelbagai perkara lain.
21. Saranan ketiga pula, adalah dengan ibu bapa sendiri menanamkan sikap skeptikal terhadap anak mereka.
22. Come on lah. Kau sendiri tau waktu zaman kau kecik macam mana dan macam mana kreatifnya kita reka alasan dan bukti supaya kita terlepas dari kena hukum. Zaman sekolah menengah lagi lah, dah buat salah mana pernah kita mengaku kita salah. Semua benda kita cuba justifikasi kenapa kita lakukan.
23. Saranan terakhir aku pula adalah dengan memperkenalkan yuran bulanan sebanyak RM30 kepada penjaga yang berpendapatan isi rumah RM3000 ke atas dan dibayar kepada pihak sekolah melalui PIBG.
24. Entah kenapalah orang kita ni, bila dia kena bayar, baru dia ambik peduli. Pasal duit, senitif orang kita.
25. Hari-hari ada aje mak bapak kongsi bagaimana kejamnya pihak sekolah terhadap anak mereka. Duduk atas tar pun, salah. Kalau kena pumping atas tar, mau dia buat report polis.
Bagus, realiti mak bapak manja yg perlu disekolahkan,
BalasPadamBtw, mana pergi lama dah tak menulis?